Entah sampai kapan Hawa mahu menggantung harapan menunggu Adam, menuntun jalan menuju Tuhan.

Hidup berbaki entah beberapa ketika lagi, namun terus-terusan hidup menerawang di alam khayalan, asyik berenang dalam lumpur kemaksiatan, dengan alasan menanti Adam menarik tangan, memimpin menuju jalan Tuhan.

Sudah sampai waktunya Hawa mencantas fantasi, lalu cuba hidup dengan realiti. Adam yang dinanti entah bila ‘kan memunculkan diri, sedang usia yang tersisa semakin menyedikit hari demi hari.

Bangkit Hawa dari lenamu. Syurga sudah tersedia menunggu. Lama menanti tapakan langkahmu berlari menuju Dia Yang Satu.

Meski tidak dipimpin Adam, jangan kau takut rebah. Telurusi kisah Rabiah Adawiah, Asiah, Zinnirah. Mereka wanita tegar pencinta Tuhan yang sendirian dalam perjuangan. Tidak ada Adam penunjuk jalan, cukup Allah sebagai sandaran kekuatan.

Hawa, kita tercipta mulia. Tersedia lahir sebagai calon bidadari syurga. Tidak perlu menunggu Adam, cukup Al-Quran dan sunnah sebagai panduan dan pedoman kehidupan.

Syurga itu jalannya panjang. Mulakan langkah mu sekarang. Biiznillah, Adam yang kau nanti pasti ditemui di satu persimpangan, jadi peneman pelengkap satu permusafiran. Nah, begitu lebih manis bukan?

😉

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang baik di syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah lebih besar. Itulah kemenangan yang agung.”
– (At-Taubah: 71-72)

source : http://suarahatimujahidah.tumblr.com/post/20674626951/entah-sampai-kapan-hawa-mahu-menggantung-harapan